Quantcast
Channel: ujang kutik
Viewing all 533 articles
Browse latest View live

JERANTUT : BERSUA BEKAS RAKAN SEKERJA DI TEMIN

$
0
0
Saya seronok apabila diarahkan bertugas di Jerantut, Pahang selama 5 hari yang bermula pada 26/11/12. Kali terakhir saya ke Jerantut, pintu gerbang ke Taman Negera itu lebih kurang 15 tahun yang lalu. Bagaimanapun, tugas saya kali ini cuma di sekitar Bandar Jerantut sahaja. Sedemikian, tidaklah dapat saya mengakrab alam semula jadi di Taman Negara.

Perjalanan dari Ibu Negara ke Jerantut bersama kawan sekerja mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sekarang musim durian di Jerantut. Di sepanjang jalan kelihatan pondok-pondok menjual raja buah itu.

Kami singgah solat zohor di Masjid Temin. Temin terletak 20 km sebelum sampai ke Bandar Jerantut.

Se usai solat zuhur kami ditegur oleh seseorang. Beliau ialah bekas kawan sekerja yang telah bersara hampir 14 tahun yang lalu. Di usia mencecah 69 tahun keterampilan beliau tidak banyak berubah - sehat, ceria dan pendekatan politiknya yang menyebabkan beliau ditukarkan ke merata tempat masih seperti dahulu. Saya menghubungi seorang kawan kami yang telah bersara dan baru menambah 'satu cawangan' lagi. Saya memberinya peluang berbual dengan sahabat lama kami yang kini menetap di Kg. Pasir, Segambut. Saya turut rasakan betapa seronoknya mereka berbual bertanya khabar. Beliau belanja kami makan tengah hari di kedai makan berhampiran Masjid Temin.

Lebih kurang pukul 1.40 petang, kami meninggalkan bekas kawan sekerja yang pada pengamatan saya sangat selesa melangsungkan kehidupan alam persaraannya di satu daerah yang persekitarannya nyaman, selesa dan menenangkan. 
 
 

JERANTUT: YANG LAMA DAN BAHARU

$
0
0



Setelah lebih 15 tahun, dapat juga saya menjenguk lagi Jerantut. Neraca perbezaan Jerantut yang terletak 54 km ke arah barat Temerloh yang dahulu dengan Jerantut yang sekarang sangat tidak adil untuk dibandingkan. Diantaranya, hotel-hotel baru yang membiak umpama ‘cendawan tumbuh’.

Sekalipun demikian, Bandar Jerantut lama masih mengekalkan imbauan ‘status quo’ Jerantut yang dahulu - deretan rumah kedai lama yang masih setia menagih pelanggan, pejabat-pejabat kerajaan, setesen keretapi, warung makanan yang banyak dan lain-lain peninggalan yang bernostalgia.

Saya tidak melepaskan peluang melayan nostalgia ketika sampai di bandar ini pada 26/11/12. Saya memanja diri melepak di sebuah kedai kopi di tengah bandar Jerantut lama. Memesan teh panas yang susunya sepertiga cawan (kerana dahulu teh tarik belum popular lagi). Membancuh kandungan susu dan air teh pekat sementara menunggu pesanan roti canai panas dan garing. Mengelamun. Cepatnya masa bergerak – usia saya telah bertambah 15 tahun selepas meninggalkan bandar ini 15 tahun yang lalu!

Di kedai kopi ini tidak ada television LED skrin besar. Walaupun tanpa objek itu, pelanggan setia dari kalangan orang Melayu dan Cina memenuhi meja usang yang disediakan oleh tuan punya kedai. Sayangnya, saya tidak melihat pelanggan Melayu dan Cina duduk berbual di meja yang sama. Realitinya, Melayu sesama Melayu, Cina sesama Cina. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, kita masih tercari-cari di mana silapnya. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, masih ada Orang Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, Orang Melayu masih juga tidak tahu sepatah pun perkataan Cina. Susahnya mengakrabkan integrasi etnik di bumi pingitan ini!     
 
 
Bandar Jerantut lama, Bandar Jerantut baharu - Bandar Inderapura. Yang sangat-sangat membezakan antara Jerantut yang sekarang dengan yang dahulu ialah dengan terbangunnya bandar baharu, Bandar Inderapura. Bandar baharu , Bandar Inderapura dibangunkan bersebelahan dengan bandar Jerantut lama. Kawan saya secara berjenaka berkata, Bandar Inderapura bandar yang agak ‘happening’ ( mengikut kayu ukur yang sesuai pada sebuah bandar yang jauh di pedalaman).
 
Bandar ini hidup dengan tertib. Tidak sunyi. Premis perniagaan khususnya warung-warung makanan meriah dengan pengunjung hingga ke malam.     
 
 
Bandar Inderapura  sebuah bandar baru yang mengandungi beberapa buah hotel, perhentian bas dan teksi, kedai-kedai tekstail, deretan kedai makan, kedai peralatan komunikasi, mini market dan supermarket dan kawasan perumahan samada yang telah atau sedang dibangunkan. Seperti di Ibu Kota, di sini juga ada sebuah restoran mamak yang beroperasi 24 jam. 

 
 
Semasa di zaman anak-anak saya sangat terpengaruh dengan unsur ‘keMelayuan’; membaca buku cerita purba, mengagumi istilah-istilah Melayu klasik/purba seperti Inderapura, Merung Mahawangsa, Kelana, Panglima Hitam, Hang Tuah Lima Bersaudara dan lain-lain lagi. Sehubungan ini, ada kemungkinan pemilihan nama Inderapura ada kaitannya dengan usaha hendak memperkasakan semula jati diri ‘keMelayuan’. Untuk pengetahuan pembaca, ada satu tempat di Daerah Jerantut yang namanya cukup klasik , iaitu ‘Damak’.

Kata orang tidak sah ke Jerantut jika tidak mencuba masakan tradisional Orang Jerantut iaitu masakan Lauk Asam Rom. Alhamdulillah, pada hari ketiga saya dapat mencari satu-satunya warung di bandar Jerantut lama yang ada menyediakan masakan ini. Kuah masakan Lauk Asam Rom rasanya sedikit masam dan sangat pedas. Diantara rencah masakan ini ialah biji buah getah yang telah dikisar, asam jawa, pucuk paku, terung pipit, daun kesum dan ikan sungai ( biasanya Ikan kenerah, sejenis ikan dari keluarga ikan baung).

Ketika catatan ini ditulis saya masih lagi berada di Jerantut. Ada satu lagi info menarik mengenai Jerantut yang tidak ramai orang mengetahuinya. Jerantut ialah hab pengumpulan durian untuk dipasarkan dalam bentuk sejuk buku ke luar negara, khususnya Republik Cina. Dikatakan satu agensi kerajaan dipertanggungjawabkan membeli buah-buah durian penduduk Jerantut untuk pasaran tempatan dan juga luar negara.  

PENDATANG

$
0
0
Walaupun seadanya, saya berpuas hati dengan 'home made' kolam ikan yang saya buat sendiri di hadapan kawasan rumah teres yang sekangkang  kera. Selain saya, ada 2-3 rumah jiran se taman yang mempunyai kolam 'landskap'. Bezanya, mereka mengupah kontraktor. Bezanya lagi, kolam landskap mereka jauh lebih sempurna dari kolam saya.
 
Kendatipun demikian, saya sangat konsistan mengakrab kolam itu. Sejak dibuat 5 tahun yang lalu, kolam ikan saya masih 'survive'. Melalui pengalaman, saya dan isteri agak mahir menyelenggara motor pam air yang memutar air kolam untuk memproses oksijen. Kalau berlaku kerosakkan kecil, kami boleh memperbaikinya sendiri. Kami tidak memerlukan bantuan ketiga-tiga orang anak kami yang menjurus dalam bidang kejuruteraan elektronik. Mereka tidak pernah menawarkan diri untuk menolong memperbaikinya. Mereka tidak tahu! Atau, mereka tidak berminat dalam kerja-kerja 'hands on'. Ini adalah di antara kelemahan anak-anak hari ini. Walaupun berkelulusan, mereka tidak ada kemahiran hidup. Maaf jika saya 'generalised' kan perkara ini. Mungkin anak-anak anda tidak termasuk di dalam golongan yang saya maksudkan.
 
Beberapa ikan ekor koi Jepun kelas C (murah) hidup selesa dan berlarian di dalam kolam kecil seluas 18 kaki persegi saya. Selain itu saya majmukkan penduduk kolam dengan ikan-ikan pendatang jenis kecil termasuk ikan gapi. Sekalipun ada ikan pendatang, ikan koi Jepun kelas C  masih menjadi kuasa dominan - berkuasa. Ikan-ikan kecil pendatang juga hidup selesa dan 'menghormati' penduduk asal, ikan koi Jepun kelas C.
 
Namun demikian, ' saya memohon maaf ' kepada penduduk asal kolam, yaani ikan koi Jepun kelas C dan generasinya  serta ikan kecil pendatang kedua (termasuk ikan gapi) dan generasinya kerana memasukkan pendatang baru yang tidak tahu dek untung seminggu yang lepas. Sebelum ke Jerantut minggu lepas, saya memasukkan lima ekor anak ikan keli ke dalam kolam saya.  
 
Ketika masih di Jerantut lagi isteri saya telah memberitahu bahawa ikan keli pendatang yang masih kecil menghambat ikan-ikan yang sedia ada di dalam kolam. Isteri saya juga memaklumkan bahawa ikan-ikan kecil semakin berkurangan.      
 
Perkara pertama yang saya ingin tahu apabila sampai ke rumah ialah 'apa sebenarnya yang berlaku' di kolam ikan saya.
 
Sah, ikan-ikan kecil yang sebelumnya ada berpuluh-puluh ekor tinggal beberapa ekor sahaja. Yang menambah amarah saya lagi ialah lima ekor anak-anak ikan keli yang masih kecil sedang menghambat ikan-ikan koi Jepun yang jauh lebih besar. Ini melampau!
 
Ini salah saya! Hakikatnya, kesalahan yang telah berlaku tidak boleh dibetulkan. Saya minta maaf.   
 
  
 
 
 
 
 
 
 

WRESTLING MANIA

$
0
0

Mania menonton gusti di di restoran-restoran mamak bertapak jauh lebih awal dari mania menonton perlawanan bolasepak Liga Inggeris. Ketika itu restoran mamak dan warung-warung Orang Melayu mengumpan pelanggan dengan tayangan perlawanan gusti melalui VCD dan diikuti CD.

Ketagihnya penonton terutamanya Orang Melayu bukan kepalang. Ada ketikanya pekerja restoran terpaksa memberhentikan tayangan kerana penonton yang cuma melanggan satu gelas teh tarik tidak hendak keluar dari restoran atau warung.

Lebih lama sebelum peminat gusti beramai-ramai menonton perlawanan gusti di restoran mamak atau warung Melayu, peminat gusti di kampung-kampung berkumpul di rumah orang berada yang memiliki peti television untuk menyaksikan perlawanan gusti. Ada tuan rumah yang mengenakan bayaran. Saya dan rakan-rakan sebaya yang ketika itu masih di sekolah rendah menyaksikan perlawanan gusti di sebuah kilang papan (sawmill) kira-kira 3 kilomter dari rumah. Tuan punya kilang papan itu bernama Yusuf Lal Khan.

Di antara nama ahli-ahli gusti yang saya percaya masih di dalam ‘kepala’ generasi terdahulu yang kini berusia 45 tahun ke atas ialah Mark Lewin, Killer Koloski, Mr. Puji, Sing (saya lupa nama awalnya) dan beberapa nama lagi. Mark Lewin yang memiliki kemahiran ‘menidurkan’ lawan adalah adiwira dan ahli gusti kesayangan penonton. Mark Lewin biasanya akan menumpaskan lawan-lawannya yang ‘jahat’ seperti Killer Koloski, Mr Puji dan lain-lain lagi.

Ketika itu seorang kawan sebaya yang akhirnya menjadi jurutera pernah mengatakan bahawa perlawanan gusti cuma sebuah lakonan. Saya tidak percaya langsung.

Saya cuma percaya dakwaan kawan itu setelah mengambil masa berpuluh-puluh tahun. Hari ini perlawanan gusti yang ditayangkan di saluran television tidak lagi mendapat sambutan. Perlawanan gusti terpaksa memberi laluan kepada kuasa baru – perlawanan bolasepak khususnya Liga Inggeris.

Bagaimanapun, venuenya masih sama, Restoran Mamak! Barangkali inilah kelebihan saudara kita ini, mahir menghidu peluang.      

MATI

$
0
0
Hampir 40 tahun yang lalu, seorang guru keturunan Punjabi pernah berkata, " Tiap-tiap hari kita mendengar atau membaca mengenai kematian. Namun demikian, kita tidak pernah menanggap bahawa kita juga ialah calun-calun mati pada setiap saat ."
 
Beliau mungkin telah meninggal dunia. Kalau masih hidup, beliau telah lanjut usia. Ketika itu walaupun tidak memakai serban, beliau beragama Sikh. Saya tidak mengetahui pegangan agama beliau selepas itu.
 
Setelah hampir 40 tahun, saya masih ingat ungkapan itu. Ungkapan itu ada kebenarannya. Selalunya kita tidak beranggapan bahawa kematian yang kita saksikan atau baca, ada kaitan langsung dengan kita.
 
Hakikatnya, kematian itu berligar-ligar di sekitar setiap manusia. Sehubungan itu, kita bersedialah dengan bekalan yang secukupnya!    
 
 

TARIKAT AHMADIAH DI KAMPUNG-KAMPUNG NEGERI SEMBILAN

$
0
0

Kalau tidak silap, era sebelum pertengahan tahun 70-an adalah era Tarikat Ahmadiah amat dekat di hati penduduk Negeri Sembilan. Ketika itu kebanyakkan Orang Negeri Sembilan samada pengikut tarikat yang disebarkan oleh Allahyarham Sheikh Muhammad Said Al-Linggi itu atau orang kebanyakkan, hadam dan menghayati perkembangan Tarikat Ahmadiah. Mereka mengenali dan mengagumi kealiman tokoh-tokoh Tarikat Ahmadiah dari keturunan Allahyarham Sheikh Muhammad Said Al-Linggi. Mereka yang bukan ahli Tarikat Ahmadiah juga hafal beberapa zikir Tarikat Ahmadiah yang mahsyur seperti tahlil, selawat azamiah dan istighfar al-khabir. Imam-imam di masjid dan surau di bandar dan kampung ‘merencahkan’ wirid-wirid selepas selesai solat berjumaah dengan bacaan tahlil, selawat azamiah dan al-istighfar al-khabir.

Tidak dinafikan bahawa Tarikat Ahmadiah yang markasnya masih di Rasah, Seremban itu terus berkembang pesat hingga ke hari ini. Bagaimanapun, venue pengikutnya telah berubah. Kalau dahulu tarikat itu sangat subur di kampung-kampung, kini keadaan adalah sebaliknya. Kini, golongan terbanyak yang melangsungkan perjalanan tarikat itu ialah di kalangan penduduk taman perumahan di bandar yang lebih terdedah kepada pengajian agama. Sehubungan ini, sekarang amat sukar hendak mendengar zikir-zikir asas Tarikat Ahmadiah dibacakan di masjid/surau di kampung-kampung yang suatu ketika adalah adalah satu kelaziman yang bermain di bibir jumaah masjid/surau.      

Kini, jarum penunjuk penghayatan hidup beragama telah berputar secara terbalik, ‘anti clock wise’. Orang bandar dilihat lebih menghayati hidup beragama berbanding orang kampung. Ini adalah satu fenomena yang tidak dapat disangkal sejak belasan tahun kebelakangan ini. Orang bandar berpeluang belajar agama di masjid/surau/pejabat mereka 30 hari dalam sebulan. Kalau hari cuti, dua kali sehari, iaitu kuliah subuh dan kuliah maghrib. Orang bandar juga berpeluang mendapatkan guru/penceramah agama yang hebat dan terkenal. Orang kampung tidak mendapat peluang ini.      

Negeri Sembilan sangat bertuah kerana dari sinilah berkembangnya Tarikat Ahmadiah ke seluruh negara dan nusantara. Tarikat ini juga masih selamat di dalam ‘jagaan’ keturunan pembawanya, keturunan Sheikh Muhammad Said Al-Linggi. Mungkin masih belum terlambat lagi untuk mengakrabkan semula tarikat ini dengan penduduk kampung di negeri ini yang suatu ketika dahulu adalah akar umbi kekuatannya. Perlu diingat, suatu ketika dahulu kalimah Tahlil Tarikat Ahmadiah menghiasi di kebanyakkan pintu rumah penduduk negeri adat ini.

BERBEZA

$
0
0

Laluan dari Kuala Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan tidak ada apa yang menarik kepada anak lelaki No.2. Kepadanya; pokok resam dan paku pakis yang melata di sesetengah kawasan di bibir jalan, hutan-hutan dara yang menjajar, bukit bukau, tasik dan lata yang jernih airnya, menyaksikan sendiri betapa masih ada penduduk sewarga, Orang Asli, yang berjalan tidak memakai baju dan sepatu, kampung-kampung tradisi yang dilewati, dusun buahan, wanita dan gadis pedalalaman yang berjualan di pondok naif beratapkan daun nipah,......tidak sedikit pun mengesankan apatah lagi mengasyikkannya.

Tidak cukup cantik kah ‘flame of the forest’ yang menghias belantara?

Celupar mulutnya, " Kasihan mereka duduk di pedalaman, terpasung di sekitaran yang terasing dan tertinggal."

Ironinya, dia meminati hobi mengakrab alam. Pada kesempatan cuti semester atau masa terluang dia dan kawan-kawannya acapkali menjejak alam - bermalam di hutan belantara, di tepi-tepi sungai, anak air dan tasik, jauh dari kota yang kononnya ‘hutan batu’.

Apabila diajukan persoalan, “ Bukankah kamu pencinta alam semula jadi? Mana bukit, air terjun atau hutan belantara yang tidak kamu jajah?”
“Itu lain.”

KELANTAN : SISI YANG SAYA BOLEH BERCERITA (BAB SATU)

$
0
0


ACAPKALI bertugas di Kelantan, khususnya Kota Bharu sejak remaja sehingga kini, saya berpeluang melihat evolusi di negeri yang penduduknya dikatakan ‘sangat tinggi semangat kenegerian’ ini. Saya juga mengamati tanggapan yang berkubu di kalangan orang bukan Kelantan (orang luar) terhadap jisim yang dikaitkan dengan Kelantan – tingkah laku, beragama, pendidikkan, ekonomi dan politik.   
Tidak ada khilaf; majoriti orang luar ‘menanggap’ pembawaan tingkah laku, beragama, pendidikkan, ekonomi dan politik Orang Kelantan secara umumnya adalah lain dari orang di negeri-negeri  selain Kelantan. Ada di antara tanggapan tersebut bersifat negatif yang tersangat susah hendak dinyahkan dari minda orang luar terhadap batang tubuh Kelantan. Sehubungan ini, tidak mustahil seorang yang bersahabat dengan Orang Kelantan dan memuji tingkah-laku sahabatnya itu mempunyai tanggapan yang berlainan apabila diminta pendapatnya mengenai personaliti Orang Kelantan secara umum. Situasinya hampir sama dengan Orang Negeri Sembilan yang masih terkial-kial hendak mengeluarkan ungkapan yang mengaibkan mereka, ‘Tinggal Sehelai Sepinggang’, yang masyhur itu dari bank ingatan orang bukan Negeri Sembilan.       
   

Pada sisi lain, Orang Kelantan memiliki ‘kelebihan’ dan berada di kelas tersendiri dari orang Melayu lain, khususnya dalam bidang pendidikkan (sama ada pendidikkan agama atau pendidikkan akademik) dan perniagaan. Orang Kelantan sangat menonjol dalam membangunkan sekolah-sekolah pondok dan institusi pendidikkan swasta. Sebagai contoh, institusi pendidikkan swasta Maktab Adabi yang berpengkalan di Kelantan suatu ketika dahulu telah berjaya menyediakan peluang kedua dan seterusnya ‘mencetak’ ribuan calun graduan yang asalnya ialah pelajar ‘hopeless’. Ramai di antara pelajar-pelajar tersebut telah menjawat jawatan tinggi termasuk Ketua-Ketua Jabatan di jabatan kerajaan dan swasta.  
Kelantan juga dikaitkan dengan gadis-gadisnya yang bukan sahaja cantik paras rupa tetapi juga baik tutur kata dan bersopan santun. Pada saya, unsur tutur kata dan sopan santun mungkin ada kebenarannya. Bagaimanapun, unsur kecantikan, adalah sesuatu yang subjektif.


Pertama kali saya ke negeri  ini ialah pada tahun 1979. Saya tidak pasti samada ketika itu laluan Kuala Lipis-Gua Musang telah ada atau sebaliknya. Seingat saya, perjalanan ke Kota Bharu ketika itu melalui Pahang, Kuala Terengganu dan baru sampai ke Kota Bharu.
Selain Kota Bharu, saya telah sampai hampir ke merata rantau dan pelusuk di negeri ini – Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Emas, Jeli, Tanah Merah,  Pasir Putih, Bachok , Rantau Panjang dan Tumpat. Di antara pengalaman menarik ialah menaiki bot kecil menyusur sungai dari Kuala Krai ke kampung-kampung pedalaman dan bermalam di Dabong pada penghujung tahun 80-an. Ketika itu DUN Dabong diwakili oleh Datuk Rozali Isohak. Ketika itu Kelantan masih dikuasai oleh Kerajaan BN. Negeri Kelantan jatuh ke tangan PAS pada tahun 1990 hinggalah ke hari ini.


Seawal pagi saya melihat anak-anak sekolah telah berada di perhentian keretapi untuk ke sekolah di Kuala Krai. Saya difahamkan bahawa walaupun sekarang telah ada jalan raya yang baik Dabong-K.Krai, anak-anak sekolah masih menggunakan pengangkutan keretapi.

Ketika di Dabong saya berpeluang menjelajah ke kampung-kampung sekitar yang jaraknya berbelas batu dengan menaiki motorsikal. Jalan laterite yang berlubang dan tidak rata sangat mencabar untuk dilalui. Bagaimanapun, pengalaman menaiki sampan kecil merentas sungai dengan memuatkan sekali motorsikal yang digunakan sangat-sangat menakutkan. Bibir air hampir separas dengan bahagian atas sampan.
Penduduk di kampung-kampung pedalaman mungkin miskin harta tetapi mereka kaya budi bahasa. Kesemua tuan rumah yang saya kunjungi telah mempelawa saya minum di rumah mereka. Bahkan, sebuah keluarga telah mempelawa saya solat di rumahnya dan seterusnya makan tengahari bersama. Saya masih ingat rumah keluarga itu di tepi laluan keretapi.  
   

Lelaki naïf Kelantan yang saya fahami semasa zaman anak-anak terhasil dari gambar di kotak mancis ketika itu  ; memakai semutar di kepala (imaginasi saya - dengan kapak kecil tersembunyi di dalamnya) , berkain batik hingga ke lutut, tidak berbaju dan berdiri di sisi sampan nelayan yang disandarkan pada sebatang pokok kelapa di tepi laut sangat berbeza dengan realiti sebilangan lelaki Kelantan yang saya lihat dengan mata-kepala sendiri pada hari ini – tekun beragama, berpakaian kemas, memandu 4-wheel drive, memakai baju T ‘ The Red Warrior’, bercerita mengenai anak-anak yang belajar di UIA,UKM, UITM atau Ireland, Mesir, Jordan,.…… Ketika itu saya juga tidak pernah membayangkan bahawa golongan wanitanya yang dikatakan boleh membuat lelaki luar mudah tergoda sangat suka  berniaga.  


Sebenarnya, ada di antara momen-momen yang membenam ke dasar hati dan tidak terlupakan itu telah saya ceritakan melalui catatan sebelum ini.  Selain itu, saya masih ada sisi lain untuk diakses dan diceritakan. Mungkin akan saya persembahkan pada catatan yang akan datang.......


TEWAS : LEE MIN HU SI KAMBING HITAM?

$
0
0

Seperti yang dijangkakan sebelum bermulanya perlawanan bolasepak Piala AFF Suzuki 2012, Harimau Malaya , pemegang juara pada edisi dua tahun lalu, hilang takhta setelah tumbang dengan aggregate 1-3 kepada pasukan Thailand dalam saingan separuh akhir. Kalah tetap kalah.
Cuma bezanya, amarah rakyat Malaysia selepas dibelasah 0-3 oleh Singapura pada pusingan awal dapat dicerahkan oleh prestasi yang lebih baik selepas kekalahan yang ‘tidak sepatutnya’ itu. Justeru itu, pasukan Harimau Malaya yang terkandas di peringkat separuh akhir dikatakan ‘Kalah Tetapi Bermaruah’.
Kalah tetapi bermaruah. Inilah ungkapan yang menenangkan pihak Pengurusun FAM/Datuk Rajagobal/Pemain Harimau Malaya dan majoriti (mungkin) peminat bolasepak kita. Watak utama yang melengkapkan ‘ Kalah Tetapi Bermaruah’ itu ialah pengadil perlawanan ‘berdarah’ itu, Lee Min Hu, dari Korea.
Ketika menyilak semula akhbar semalam, saya terbaca pendapat dua orang yang ada autoriti dalam bidang sukan tanah air.  Yang pertama menyalahkan pengadil secara mutlak di atas kekalahan Harimau Malaya. Sebaliknya, yang kedua berpendapat bahawa kekalahan Harimau Muda adalah kerana unsur dalaman dan luaran. Beliau berpendapat, andainya Lee Min Hu tidak buat hal sekalipun, pasukan Thailand adalah pasukan yang selayaknya menang.  
Kalau Si Lee Min Hu tidak buat hal tentunya moral dan rasa amarah pemain dalam keadaan terkawal. Dalam situasi sedemikian (tiada pemain dibuang padang dan mental pemain stabil), walaupun diasak sehingga sukar hendak bernafas, ‘magis’ yang menyebelahi kita mungkin berlaku. Tetapi ‘magis’ tidak akan selalu berlaku.  Kejayaan berpihak kepada pihak yang memiliki kekuatan dalaman.
Saya bukan sebahagian dari golongan antagonis, yaani pihak yang sentiasa menyalahkan badan sukan bolasepak kita, FAM. Bagaimanapun, kita yang pernah sehalaman dengan Korea/Jepun perlu membina semula kekuatan. Kita sudah letih bermain dengan ungkapan klise samada kepada pihak yang dipersalahkan atau pihak yang tidak puas hati, iaitu rakyat Malaysia keseluruhannya.

KELANTAN, SISI YG SAYA BOLEH BERCERITA (BAB DUA) : NASI LEMAK

$
0
0

Suatu ketika dahulu, Kota Bharu, Kelantan bukan tempatnya kepada peminat nasi lemak tegar. Susah hendak mendapatkan nasi lemak di sini. Kalau ada pun, rasanya tidak memenuhi selera orang bukan Kelantan ( orang luar). Peniaga makanan di Kota Bharu hampir semuanya menyediakan menu makanan tempatan Kelantan – nasi kerabu, nasi dagang edisi Kelantan, nasi berlauk,lauk itik serati, nasi berlauk, ayam percik dan beranika makanan tempatan lagi yang saya tidak tahu namanya. Makanan-makanan tersebut boleh diperolehi samada siang atau malam. Mengikut ceritanya, makanan nasi berlauk yang mengandungi nasi putih berlaukkan ikan tungkul dimasak kuning dengan timun, asalnya adalah makanan penduduk kampung yang susah sebelum mereka turun ke bendang, ladang atau laut.

Walaupun aura nasi lemak masih agak asing  di bumi Kelantan , saya melihat ada sedikit anjakan ke atas cita rasa orang Kelantan mutakhir ini, khususnya di Kota Bharu.  Di Kota Bharu, atau tepatnya di Jalan Kota Bharu – Kuala Krai (tidak jauh dari Pejabat RISDA) telah ada sebuah restoran yang menu tunggalnya ialah nasi lemak. Restoran yang beroperasi dari pagi hingga tengah hari ini diuruskan secara moden dan sistematik – kaunter bayaran berkomputer , layanan mesra dan cekap serta ruang makan yang selesa dan bersih.

Berbeza dengan makanan nasi lemak di Ibu Negara yang memasukkan sambal, lauk dan nasi di dalam satu pinggan, hidangan nasi lemak di sini mengasingkan sambal dengan nasi. Kalau kita pesan nasi lemak sotong, kita akan dihidangkan dengan se pinggan nasi lemak dan se piring kecil sotong yang telah dipotong berserta sambalnya. Begitulah juga kalau kita pesan nasi lemak ikan bilis – sambal ikan bilis dihidangkan dalam piring kecil. Selain sambal sotong, sambal ikan bilis, telor mata kerbau, restoran ini juga menyediakan variasi lauk pauk yang lain termasuk ayam goreng.   

Perlukah saya mempromosi secara percuma restoran itu?

Tidak mengapa, demi kemudahan para musafir dari luar Kelantan yang rindukan nasi lemak ketika di Kota Bharu dan juga untuk kebaikan restoran itu ( semoga tuan punya restoran dan stafnya taat mematuhi perintah Allah), saya nyatakan nama restoran itu – RESTORAN NASI LEMAK BERSINAR.
Saya ialah peminat nasi lemak tegar. Pada saya nasi lemak di restoran ini sedap! Anda mungkin boleh mencubanya apabila berada di sini. 

MOHD NIZAM ABDULLAH : 'THE SPECIAL ONE'

$
0
0

 
Lebih kurang jam 11.00 pagi, Ahad (16/12/12), saya dan isteri mendengar orang memberi salam. Saya membalas salam dan menuju ke arah pintu besar rumah. Saya terkejut. Tetamu yang tidak disangka, Mohd Nizam bin Abdullah telah berada di hadapan mata. Dia datang bukan seorang, tetapi berdua.

Saya mempersilakan pasangan itu masuk ke dalam rumah. Tanpa pengetahuannya, saya segera membatalkan hasrat kami hendak berjalan-jalan dan seterusnya membeli ikan segar di Kuala Selangor.  

“Saya sengaja tidak beritahu Brahim hendak datang,” katanya ketika melangkah masuk ke dalam rumah. “ Saadiah apa khabar?” Dia menegur isteri saya yang menunggu di ruang tamu.

“Khabar baik,” jawab isteri saya dengan penuh ceria.

Itulah Mohd Nizam, seorang mualaf keturunan India yang telah menganut agama Islam lebih 30 tahun yang lalu. Dia seorang yang sangat peramah. Perhubungan kami agak rapat sejak sekian lama, iaitu sejak anak-anak masih kecil sehinggalah arwah isterinya meninggal dunia kira-kira 4 tahun yang lalu. Saya mengenalinya kerana isterinya kawan baik isteri saya.  

Ketika anak-anak masih kecil juga kami dengan keluarga masing-masing pernah berkelah bersama ke tempat-tempat perkelahan dan bercuti sehingga ke Kuala Terengganu.

Mohd Nizam pesara PKNS, 66 tahun , memperkenalkan isteri yang baru dikahwininya kira-kira sebulan yang lalu.Dia meminta maaf kerana tidak memberitahu kami yang dia telah berkahwin lagi. Rumahnya di Lembah Keramat cuma lebih kurang 15 km. sahaja jaraknya dari rumah saya di Ampang. Isteri baru Mohd Nizam , awal 50-an, berasal dari Johor Bharu dan bertugas dengan jabatan kerajaan di Cyberjaya.

Walaupun usianya telah mencecah 66 tahun, Mohd Nizam kelihatan segak dan awet muda. Katanya, dia minum sekurang-kurangnya 8 gelas air suam tiap-tiap hari. Bersama arwah isterinya dahulu, dia dikurniakan dua orang anak, Boy,31 tahun dan Jehan,20 tahun. Isteri saya menyakat, “Boy tidak kisah hendak kahwin berbanding ayahnya.” Dia menjelaskan secara berlawak, “ Kalau Boy hendak kahwin, beritahu ayahnya ini, semuanya ditanggung beres.”   

Mohd Nizam mualaf yang mempamirkan akhlak seorang Muslim yang ‘cantik’. Dia masih rapat dan intim dengan keluarga asalnya yang menganut agama Hindu. Sebagai seorang Islam, dia menghayati hidup sebagai seorang Islam yang baik. Dia solat lima waktu dalam sehari, solat berjumaah dan menghadiri kuliah agama di surau/masjid berhampiran rumahnya. Kadang-kadang dia juga berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.  

Keluarga Mohd Nizam berasal dari Singapura tetapi bermastautin di Mambau, Seremban, Negeri Sembilan. Di Mambau, dia sekampung dan berkawan dengan pelakun Dato’ Mustafa Maarof.    

Mohd Nizam dan isterinya meminta diri hendak balik ke rumahnya ketika hampir masuk waktu solat fardhu Zuhur. Katanya, dia ada jemputan perkahwinan berhampiran rumahnya di Lembah Keramat.

Mohd Nizam bin Abdullah, “The Special One”. Sinambung persahabatan saya dan keluarga dengannya umpama satu amanah yang pertanggungjawabkan oleh arwah isterinya yang begitu baik dengan keluarga kami ketika hayatnya. Al-fatihah.

DARI JAM 7.00 HINGGA 10.00 MALAM (19/12/12)

$
0
0
Sebenarnya tidak ada perkara besar yang saya lakukan pada hari ini dari jam 7.00 hingga 10.00 malam. Kalau ada pun hanya perkara-perkara kecil yang mungkin remeh-temeh pada pendapat sesetengah orang:
 
Perkara Satu - Patutkah Saya Menolong?
 
Ketika mengikuti kuliah maghrib di masjid saya sengaja duduk di luar dewan solat kerana badan kurang selesa. Saya ternampak seekor kelkatu sedang meronta-ronta di atas lantai kerana digigit oleh 4 ekor semut kecil. Saya menolong kelkatu itu melepaskan diri dari menjadi habuan makanan sang semut. Kelkatu itu bernasib baik dan terbang bebas.
 
Renungan : Perlukah saya menolong kelkatu itu kerana dalam masa yang sama menafikan usaha dan kerja keras sang semut untuk mendapatkan makanan?  
 
Perkara Ke-2 - Ada Duit Tetapi Tidak Dapat Bersedekah 
 
Saya pergi ke masjid membawa satu keping wang RM50. Biasanya saya cuma membawa dua tiga keping wang RM1.00 sahaja untuk tabung masjid. Ketika tabung diedarkan saya tidak dapat memberi sumbangan kerana wang saya besar sangat.
 
 Kebetulan ketika solat sunat ba'diah Isyak, saya solat berhampiran peti besi masjid. Ketika berdoa saya terlihat seorang jumaah memasukkan sekeping nota RM50 ke dalam peti besi masjid. Saya mengagak dia orang kaya dan berkereta mewah ke masjid. 
 
Ketika bertembung di tempat letak kereta saya dapati keretanya diletakkan di sebelah kereta saya. Keretanya biasa-biasa sahaja.
 
Renungan : Lebih (banyak) wang tidak semestinya kita boleh bersedekah lebih dari orang yang kekurangan wang.
 
Perkara Ke-3 - Cina Singapura (dan etnik Cina Malaysia) Tidak Pandai Bermain Bolasepak Lagi?
 
Sesampai di rumah saya sempat menyaksikan perlawanan bolasepak merebut Piala AFF Suzuki 2012 di antara Singapura-Thailand di saluran Astro. Saya dapati tidak ada seorang pun pemain pasukan bolasepak Singapura dari etnik Cina. (Pasukan bolasepak Harimau Malaya pun tiada pemain dari kalangan etnik Cina).

Nota : Quah Kim Song ialah pemain Singapura yg digeruni/segani suatu ketika dahulu. Di Malaysia juga ramai termasuk menjadi 'The Legend' - antaranya; Chow Chee Keong, James Wong dan Datuk Soh Chin Aun.
 
Renungan : Orang etnik Cina samada di Singapura atau Malaysia tidak lagi minat bermain bolasepak?
  
  
 
 
 
 

KELANTAN, SISI YANG SAYA BOLEH BERCERITA (BAB TIGA) – AIR SARBAT TELUR PUYUH

$
0
0
Pada awal tahun 80-an hingga penghujung tahun 90-an, perkara ‘wajib’ yang saya lakukan ketika berada di Kota Bharu,Kelantan ialah meronda di sekitar medan selera yang terletak di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Ketika itu, lokasi medan selera itu terletak tidak jauh dari Pasar Siti Khadijah dan di sisi sebelah kanan pusat beli belah The Store yang ada sekarang. Peniaga makanan di situ menggunakan kereta sorong dan beroperasi di sebelah malam sahaja. Pada waktu siangnya, tempat itu menjadi tempat meletak kenderaan.

Di sekitar kawasan itu juga terdapat peniaga menjual pakaian, buah-buahan, ubat tradisional dan lain-lain barangan yang biasa dijual di pasar malam kecuali ikan atau sayur-sayuran. Ketika itu, saya merasakan tempat itu sangat ‘happening’.

Setelah penat meronda dan ‘mencuci mata’, saya mencari salah sebuah warung minuman dan menikmati makanan yang dibeli di warung-warung di dalam kawasan medan selera itu. Salah sebuah warung minuman yang saya selalu singgah ialah warung menjual air sarbat telur puyuh. Saya masih boleh mengingat cara peniaga di hujung 30-an( ketika itu) yang suka memakai baju pagoda berlengan berwarna putih bersih membancuh air sarbat dengan telur puyuh. ‘Cantiknya’ peniaga di Kelantan ketika itu. Mereka akan menyediakan pelanggan dengan segelas air kosong percuma sebaik sahaja pelanggan duduk di warung mereka. Tidak mengapa, jika pelanggan tidak memesan minuman lain!    

Kini medan selera itu telah tiada lagi di lokasi asal kerana dipindahkan ke lokasi baru yang tidak jauh dari situ. Kira-kira dua tahun lalu saya pernah menjenguk tempat baru itu. Malangnya imbauan masa lalu tidak dapat dirasakan lagi. Tempat baru itu kurang memuaskan – tidak teratur dan kotor. Saya juga tidak melihat peniaga ‘Warung Air Sarbat Telur Puyuh’ yang dahulu atau legasinya di situ!   

DATO' SHEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDDIN AL-MALIKI

$
0
0

Pada hari Jumaat tidak beberapa lama dahulu, setelah solat di masjid berhampiran pejabat, saya makan tengah hari sendirian di warung milik Orang Negeri Sembilan yang terletak di belakang pejabat. Ketika sedang makan, saya didatangi oleh tiga orang rakan sepejabat yang menunaikan solat Jumaat di 'masjid orang-orang kaya', Masjid Taman TAR, Ampang Jaya. Kami makan se meja.

Saya sangat mengetahui bahawa mereka di atas platform siasah yang sama, adalah peminat dan pengagum kaedah penyampaian khutbah yang disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid Taman TAR, Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki (Ustaz Fuad). Telah diketahui bahawa kuliah atau ceramah Ustaz Fuad mempunyai tarikan tersendiri. Sebutan patah-patah perkataan samada bahasa Arab atau Melayu yang beliau lontarkan begitu petah dan lancar. Beliau tidak menggunakan teks. Beliau seorang alim yang mempunyai aura – jumaah menghormatinya dan juga tertarik kepada ceramah/kuliah beliau.

Saya mengusik mereka, " Walaupun telah ada masjid yang dekat, masih konsistan lagi ke Masjid Taman TAR nampaknya kawan-kawan kita ini...... "

Salah seorang menjawab, "Masih, mestilah....."

Saya terus mengusik, " Mestilah.....maklumlah peminat tegar Ustaz Fuad."

Rakan yang termuda, berasal dari Melaka menjawab dalam loghat Negeri Sembilan yang tidak beberapa betul, " Ustaz Fuad dah tak ado lai di Masjid Taman TAR. Dio dah balik nogori."

Sebenarnya, sekali sekala saya pernah juga mendengar khutbah Jumaat atau kuliah Maghrib/Subuh/Dhuha beliau di Masjid Taman TAR. Saya sendiri merasakan bahawa para jumaah ternanti-nantikan giliran kuliah/khutbah Jumaat beliau di Masjid Taman TAR kerana dalam masa yang sama Ustaz Fuad juga terlibat dengan urusan di  Sekolah Tinggi Islam As-Sofa , Negeri Sembilan. Pendek kata jumaah akan merasa hampa jika Ustaz Fuad tidak dapat hadir menyampaikan kuliah/khutbah di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  

Satu perkara yang dapat saya saksikan ialah kejayaan beliau mengwujudkan perhubungan kerohanian dan adab murid kepada Tuan Guru. Anak-anak murid atau pengikut beliau dari serendah status kedudukkan ekonomi sehingga ke peringkat atasan sangat menghormatinya. Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila anak murid/pengikut beliau termasuk di kalangan VIP mencium tangan Ustaz Fuad selepas selesai kuliah.   

Saya difahamkan bahawa Ustaz Fuadtelah kembali menetap di Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan untuk memimpin secara sepenuh masa Sekolah Tinggi Islam As-Sofa. Kompleks Sekolah Tinggi As-Sofa Bukit Sembilan yang serba moden terletak di Bukit Sembilan (Chengkau Ulu), Bt.24, Jalan Besar Seremban-Tampin. Bagaimanapun, saya tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara ini ( kembali menetap di Negeri Sembilan).

 Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki ialah ulamak muda yang dilahirkan pada 16 September 1974 di Kampung Chenung, Chengkau, Rembau, N.Sembilan. Beliau berkelulusan Al-Azhar. Beliau ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan sejak tahun 2003, pendakwah bebas, penulis yang telah menulis lebih seratus buah buku (termasuk dalam bahasa Arab), ahli tasawwuf dan susuk penting sehingga tertubuhnya Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau juga kerap dijemput membentangkan kertas kerja atau berceramah bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Sungguh pun demikian, penerimaan khalayak terhadap 'batang tubuh' seorang ilmuan muda yang bernama Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki berbelah-belah. Ada khalayak yang sangat mengagumi beliau. Sebaliknya, ada juga kalangan yang kurang menyenanginya. Golongan kedua ini mendakwa beliau terlalu 'condong' dan 'berlapang dada' kepada 'satu pihak' sahaja.

Saya sendiri, anak jati Mukim Chengkau, yang mengenali ibundanya, Ustazah Zainab yang pernah mengajar saya ketika di Sekolah Kebangsaan Chengkau, sekampung dengan ayahandanya serta mempunyai perhubungan saudara bau-bau bacang di sebelah ibundaya tidak mengenali beliau secara mendalam.

Sehubungan ini, saya berlapang dada di tengah-tengah beberapa individu/sahabat/kawan yang turut mengagumi kealiman beliau tetapi kurang menyenangi tindakan beliau yang didakwa terlalu 'condong' dan 'berlapang dada' kepada 'satu pihak' tetapi ‘kurang mesra’ dengan ‘pihak yang lain’. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

 

PEKAN REMBAU : SUATU PAGI, 24/12/2012

$
0
0
PINTU MASUK KE KEDIAMAN RASMI Y.T.M UNDANG LUAK REMBAU
'BALAI LELA SEDIA'
Satu jenaka yang sangat popular di kalangan anak-anak Rembau berbunyi, " Ghombau (Rembau) den tak sosek (sesat), inikan pulo (pula) Kolumpur (Kuala Lumpur) " masih disebut-sebut sehingga hari ini. Jenaka itu seolah-olah mempersendakan Pekan Rembau berbanding kota Kuala Lumpur. Bagaimanapun, secara falsafahnya ungkapan jenaka tersebut menunjukkan Pekan Rembau itu sentiasa dekat di hati anak-anak Rembau.

 
BALAI LELA SEDIA
KOMPLEKS KEDIAMAN RASMI Y.T.M UNDANG LUAK REMBAU


Di Pekan Rembau, iaitu berhampiran jalan besar Seremban-Tampin, ada sebuah bangunan yang diberi nama 'BALAI LELA SEDIA'. Bagi anda yang bukan anak Rembau, anda mungkin tertanya-tanya mengapa bangunan kediaman rasmi Y.T.M Undang Luak Rembau ini dinamakan 'BALAI LELA SEDIA'. Anda mungkin masih boleh mengaitkan perkataan 'BALAI' dengan ungkapan yang hampir sama seperti premis, rumah, markas dan sebagainya. Yang memusykilkan anda mungkin perkataan 'LELA - SEDIA'.    

MAKAM PURBA UNDANG LUAK REMBAU PERTAMA (1540-1555)
ALMARHUM DATO' LELA MAHARAJA DATO' SERI
RAMA BIN TOK LELA BALANG DAN ISTERI,
PUAN SERI SITI HAWA BT. LAUT DALAM
(Makam ini terletak di Kg.Chengkau Ulu,Kota,Rembau,N.Sembilan)
 
Untuk makluman, jawatan Undang Luak adalah jawatan yang dikhususkan secara ekslusif kepada keturunan Suku Biduanda di Negeri Sembilan. Suku Biduanda ialah dari keturunan anak-anak perempuan Ketua Orang Asal Rembau yang berkahwin dengan pendatang Minangkabau, khususnya  di kalangan pembesar atau ketua yang mengetuai misi masuk dan menetap di Negeri Sembilan lebih 500 tahun yang lalu. Secara mudahnya, definasi yang paling hampir untuk menerangkan maana Undang Luak ialah, 'raja bagi sesuatu luak (daerah)'. Jawatan undang luak ialah jawatan yang disandang sejak dilantik sehingga penyandangnya meninggal dunia atau dilucutkan jawatan. Perlu juga diketahui bahawa penggantinya bukan di kalangan anak-anak lelaki penyandang yang telah meninggal dunia tetapi terbuka kepada semua lelaki dari keturunan Suku Biduanda, samada keturunan Suku Biduanda Lela Maharaja atau Suku Biduanda Lela Maharaja secara bergilir-gilir. Tentunya pemilihan dibuat oleh sebuah badan yang berwibawa. Tidak salah jika anda terfikir bahawa penduduk di negeri ini telah mengamalkan pemilihan secara sistem demokrasi sejak berabad-abad yang lalu!
Justeru itu, inilah sebabnya kompleks kediaman rasmi Y.T.M Undang Luak Rembau di namakan 'BALAI LELA SEDIA'. Kompleks kediaman rasmi Y.T.M Undang Luak Rembau ini akan menjadi kediaman rasmi Undang-Undang Luak Rembau yang dilantik secara silih berganti- dari keturunan Suku Biduanda Lela Maharaja atau Suku Biduanda Sedia Raja.
 
Datuk Undang Luak Rembau Ke-21 yang memegang jawatan sekarang, Dato' Lela Maharaja Hj. Mohamaad Sharif bin Othman, ialah dari Suku Biduanda Lela Maharaja. Anda boleh mengetahui keturunan yang akan mendiami 'BALAI LELA SEDIA' selepas ini!     

  

MASJID TANAH, MELAKA : SERBA SEDIKIT MENGENAINYA

$
0
0

ANTIK & CANTIK DI PEKAN MASJID TANAH
 
Masjid Tanah, Melaka , daerah yang melahirkan ramai tokoh. Di antaranya, termasuklah tokoh pendidikkan tersohor negara, Y.Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad . Ada beberapa maklumat yang ingin saya kongsi dengan pembaca mengenai daerah di sebelah utara Negeri Hang Tuah ini.

Saya tidak akan uar-uarkan nama-nama artis yang berasal dari daerah ini kerana tidak sesuai dengan usia saya. Memalukan diri sendiri sahaja! Saya pernah menulis mengenai pelakun-pelakun iras kacukan Indonesia yang memonopoli peluang lakunan di Indonesia lebih setahun yang lalu. Catatan tersebut berada pada ‘ranking’ tertinggi pelawat blog saya yang tidak seberapa termasuk dari Indonesia hingga sekarang. Walaupun tujuan saya menulis catatan itu kerana pada pandangan saya ada amalan diskriminasi secara terancang terhadap pelakun berwajah watan anak jati Indonesia (Jawa,Betawi,Minang,Batak dsb), ada ketikanya saya malu sendirian kerana menulis catatan sebegitu.   

Saya akan mengiakan perbualan mengenai amalan berjoget lambak yang begitu popular di majlis-majlis perkahwinan penduduk daerah ini (Masjid Tanah) suatu ketika dahulu tetapi kini telah menjadi sejarah. Kalau masih ada pun amalan itu sekarang, keluarga tersebut benar-benar ‘samseng’ dan maha jahil!

BENTUK RUMAH TIPIKAL PENDUDUK MASJID TANAH
 
 
 
Juga, saya akan mengiakan jika ada kawan-kawan memuji bentuk tipikal rumah penduduk Masjid Tanah yang berseni dan diselenggara dengan baik serta bersih sehingga menjadi pilihan lokasi adegan filem/drama tanah air. Saya akan menambah, “Orang Masjid Tanah telah terbiasa membersihkan rumah dan kawasan perumahan mereka kerana  ‘ditarbiah’ secara paksa oleh nenek moyang Robin Van Persie dari Belanda beratus tahun yang lalu.”

Pasti juga saya membenarkan bahawa gadis dan wanita Masjid Tanah membahasakan diri mereka sebagai ‘An’ (bunyikan huruf A dengan ‘ain’(huruf Arab). Contohnya, “An hendak pergi Simpang(Pekan Masjid Tanah) (Orang Masjid Tanah menyebut Pekan Masjid Tanah dengan ganti nama ‘SIMPANG’)”.  

Tidak salah jika saya ungkapkan, “ Masjid Tanah (termasuk juga Alor Gajah) adalah jelmaan Negeri Sembilan”. Ungkapan ini mungkin kurang disenangi oleh anak-anak Masjid Tanah. Bagaimanapun, dapatkah dinafikan bahawa sebahagian besar penduduk daerah Masjid Tanah (termasuk juga Alor Gajah) mengamalkan Sistem Adat Perpatih, bercakap dialek Negeri Sembilan dan suri rumahnya mahir masak lauk lemak cili api?
Sayangnya, kini jati diri kebanyakkan penduduk daerah ini terhadap sistem Adat Perpatih cuma lebih baik sedikit dari jati diri Orang Melayu Cape Town, Afrika Selatan terhadap bangsa asal usul nenek moyang mereka, iaitu bangsa Melayu. Amalan Adat Perpatih semakin diabaikan dan dilupakan di daerah ini!      

MASJID LAMA DI PEKAN MASJID TANAH

MASJID LAMA DI PEKAN MASJID TANAH (DIBINA AWAL 1900)
 
Di pekan ini ada dua buah masjid. Masjid pertama ialah masjid jamek yang terletak berhampiran jalan besar Masjid Tanah-Melaka. Sebuah lagi adalah masjid lama yang telah diiktiraf sebagai warisan sejarah yang terletak di tebing sungai yang mengalir di tengah-tengah Pekan Masjid Tanah. Saya tidak menemui masjid yang dibina dari tanah di Pekan Masjid Tanah dan sekitarnya!

 
 
PETI BESI ANTIK
(LIHAT LUBANG - ADA PERCUBAAN MEMBUKA PETI BESI INI)
 
 
PERIGI YANG MASIH DIGUNAKAN (AIRNYA SEJUK & JERNIH)
 
KOLAH WUDHU (BERSIH)
 
 
RUANG SOLAT (CANTIK)
 
PASAR MALAM MEGA (HARI AHAD MALAM ISNIN)

Setiap hari Ahad malam Isnin ada pasar malam di Pekan Masjid Tanah. Pasar malam yang diadakan pada lorong-lorong premis perniagaan sangat mengujakan – beranika jenis jualan dan begitu ramai pengunjung. Saya hampir hendak membeli CD lagu-lagu ketuhanan yang agak sedap didengar nyanyian bekas penyanyi dangdut, Iwan. Namun, saya membatalkan hajat tersebut kerana CD yang dijual adalah cetak rompak. Tidak adil kepada penyanyi yang telah berhijrah dan membetul arah itu.

CENDUL MASJID TANAH

WARUNG CENDUL MASJID TANAH (WAJIB SINGGAH)
 
SALAH SATU MENU CENDUL MASJID TANAH
 
Saya berani bertanggungjawab ke atas pengakuan ini, “ Cendul Masjid Tanah adalah di antara cendul paling sedap di seluruh Malaya.”

KEDAI BARANGAN/PAKAIAN SUKAN AL-IKHSAN


AL-IKHSAN (KEBANGGAAN 'HANG TUAH?)
  
Pekan Masjid Tanah terus membangun. Premis-premis perniagaan baru telah dibangunkan di atas bekas kawasan sawah kepunyaan penduduk Melayu di pekan ini. Seperti kebiasaannya, premis-premis perniagaan tersebut diusahakan oleh mereka yang mahir berniaga, yaani peniaga bukan Melayu. Namun demikian, di celah-celah premis perniagaan milik bukan Melayu tersebut, ada juga 1-2 milik Orang Melayu/Islam termasuk kedai barangan/pakaian sukan Al-Ikhsan.
Penduduk Masjid Tanah mempunyai kuasa beli yang ampuh. Harga barangan di Masjid Tanah lebih mahal berbanding dengan Kuala Lumpur. Diharapkan pengaliran kuasa beli itu singgah juga kepada peniaga/pengusaha Melayu.
 

URESS

$
0
0

Saya 'update' foto ini selepas 2 hari catatan dikeluarkan
(Saya terjumpa gambar ini & gambar di bawah dlm library picasa camera)
 
Ketika balik ke kampung minggu lepas, seawal 8.00 pagi saya telah berada di Pekan Rembau. Beli dua jenis surat khabar di kedai runcit Mamak berhampiran Masjid Jamek Pekan Rembau. Sarapan pagi di warung berhadapan dengan bekas perhentian bas/teksi Pekan Rembau yang kini  sedang dibangunkan bangunan bertingkat . Membaca surat khabar . Sesekali saya terperasan ada pelanggan yang masuk ke dalam warung memandang sinis kerana mungkin ada di antara surat khabar yang saya baca agak ‘pelik’ atau asing bagi mereka.  

JALAN URESS - (Jalan Kenangan)
 
Ketika ‘lepak’ di dalam warung yang agak ramai juga pelanggannya, saya mengharapkan agar dipertemukan semula dengan bekas-bekas rakan sekolah ketika di URESS (Undang Rembau English Secondary School) berpuluh-puluh tahun dahulu. Walaupun ada di antara rakan-rakan tersebut yang saya telah lupa nama mereka, Insya Allah, jika berjumpa saya akan kenal. Hatta, jika ada di antara mereka telah penuh uban di kepala (seperti saya), telah buncit perut, jalan bertongkat, bercermin mata tebal sekalipun, saya boleh mengenali mereka.

Misalnya, diandaikan saya berjumpa semula dengan ‘monitor’ kami ketika Form One, MAZLAN SHARIFF dari Kg. Batu yang lebih dikenali dengan nama glamour beliau ‘LAN BUNGKO’, saya masih dapat mengecam. Saya juga pasti kami masih boleh bergurau seperti berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Begitu juga seorang kawan lagi, Dr Mohd Fuad bin Hj.Abu dari Pekan Chengkau. Saya tidak pernah berjumpa dengan beliau sejak tamat sekolah di URESS. Beliau pernah menghubungi saya kira-kira tiga tahun yang lalu. Melalui perbualan melalui telefon yang agak panjang itu, saya rasakan tidak ada langsung jurang personaliti dan cara bercakap. Saya rasakan bunyi suara beliau masih seperti zaman belasan tahun dahulu. Adakah suara tidak turut tua seiring dengan jisim fizikal? Kalau berjumpa semula, Inaya Allah, saya kenal – kulit putih, rambut lurus (mungkin sekarang ada sedikit/banyak uban) dan agak kacak.

Bagaimanapun, sepanjang saya berada di warung itu, tiada seorang pun bekas rakan sekolah datang ke situ. Begitu juga semasa membeli surat khabar di kedai runcit mamak dan ketika di pasar. Saya tidak menemui walaupun seorang bekas rakan sekolah!

Adakah saya seorang sahaja yang selalu balik menjenguk daerah asal usul? Atau,  sayakah bekas pelajar URESS se ‘Class’ terakhir?          

 

Ampang,
29/12/2012
8.43 pagi

JANJI SI PENJANJI

$
0
0



Barangkali,
kita tidak lagi mengingat,
janji demi janji,
yang dipancang,
sepanjang laluan,
yang kita susur.

Esok,
kita juga telah berakad-janji lagi;
wahai rerumput di laluan,
bersedialah untuk diinjak lenyai,
itu denai Si Penjanji ini,
antara rumah-masjid, masjid-rumah.

Esok,
kita juga telah berakad-janji lagi;
wahai Tuan Nazir,
perelokkan tangga masjid kita,
Si Penjanji akan meninggal jejak,
paling minima 10 kali sehari.

Esok,
andainya kita ada lagi,
kekunci neraca akan dijana lagi
peri lembaran hutang diakru,
milik kita, Si Penjanji.

 

KEINDAHAN TERDAPAT DALAM KEJUJURAN

$
0
0

Kata bijak pandai, “ Keindahan terdapat dalam kejujuran.”

Usahkan orang lain, saya sendiri tidak banyak mendedahkan hal yang dikategorikan terlalu mendalam dan peribadi dalam halaman blog saya. Ini mungkin kerana dari satu sisi,  saya tidak ‘ada apa’ yang hendak dimegahkan atau dibanggakan.

Sedemikian, saya tidak memaparkan foto-foto bercuti bersama keluarga di Paris, London dan lain-lain destinasi menarik , makan malam di  restoran ekslusif, menayang tunjuk kereta mewah yang baru dibeli dan lain-lain yang membanggakan kerana saya tidak berkemampuan berbuat dan memiliki deretan kemegahan itu.

Dari sisi yang lain pula, saya masih tidak mempunyai kekuatan untuk ‘menelanjangkan’ kekurangan atau hal diri secara berlebihan kepada khalayak pembaca.

Namun demikian, saya menemui ‘ keindahan dalam kejujuran’ dalam tulisan beberapa orang rakan blogger. Dengan itu, saya ialah dikalangan pembaca tetap blog-blog tersebut. Saya ternanti-nantikan catatan terkini ‘beliau-beliau’ itu.

 

Ampang
31/12/2012
10.25 pagi

AMERIKA : BENCI TETAPI SUKA

$
0
0

SUATU KETIKA DAHULU APABILA DITANYA KEPADA KANAK-KANAK YANG
LAHIR PADA TAHUN 50-an, 60-an DAN AWAL 70-an;

Siapa hero? Askar Amerika!
Siapa Orang Jahat? Askar Jerman!
Atau,
Siapa musuh, Amerika atau Rusia? Rusia jahat!

Itulah jawapan mutlak yang dijawab tanpa was-was. Tidak ada kekecualian, samada mereka (kanak-kanak itu) itu sekarang seorang buruh, seorang Ketua Kerani atau seorang Ketua Pengarah. Itulah jawapannya. Standard!

Namun demikian, berdasarkan ‘kejahatan’ Amerika di Iraq , Afghanistan dan juga peranannya sebagai sekutu nombor satu Israel, tanggapan anak-anak hari ini dan Orang Islam keseluruhannya terhadap Amerika telah berubah. Kemuncak kemarahan kita terhadap Amerika ialah semasa Presiden J. Bush berkuasa. Amerika mula dilabelkan sebagai ‘Sejahat-jahat kuasa di atas planet ini.’ ‘Jelmaan jembalang.’

Kita masih terngiang-ngiang lagi ungkapan samseng dan ancaman Bush terhadap negara-negara yang tidak menyokong atau berpihak dengan Amerika ketika Perang Teluk yang berbunyi, “ With us or without us.” Ketika itu kita juga membayangkan bahawa dengan menekan satu butang sahaja sebuah negara yang jaraknya beribu batu dari pusat sasaran akan musnah. Bayangan itu bukannya satu halusinasi. Kita telah melihat kemusnahan di Iraq.

Sungguhpun selepas era Bush amarah dan kebencian kita terhadap kuasa besar itu telah reda sedikit, kita masih menganggap Amerika sebagai bukan kawan sebenar kerana peranannya yang berterusan membantu dan melindungi Israel dan juga sekali sekala mengacau ganggu negara-negara lain khususnya negara-negara Orang Islam.

Di para akhir ini saya terpaksa juga mengitar semula ayat-ayat klise mengenai Amerika: “Walaupun Amerika dibenci, kehadiran roh Amerika ke dalam batang tubuh negara-negara yang membencinya terus mencengkam dan tidak terhindarkan. Mereka masih menggunakan dengan megah, yakin dan rasa tidak bersalah produk Amerika dan sekutunya Israel  – gaya hidup, berpakaian, hiburan, makanan, teknologi dan hampir semua keperluan daya diri.”

Pembenci Amerika umpama seorang yang mengejar musuhnya untuk dipukul, tetapi tidak berani berbuat apa-apa apabila musuh itu berhenti berlari dan menunggunya!

 
Viewing all 533 articles
Browse latest View live